Wajah-Wajah Kemiskinan mengajak pembaca untuk melihat kemiskinan dari perspektif yang lebih mendalam daripada sekadar angka dan statistik. Setiap data mempunyai kisah dan cerita tersendiri yang kita telah rekodkan dalam buku Wajah-Wajah Kemiskinan ini. Buku ini merupakan rangkuman dapatan kajian kemiskinan multidimensi yang mengadaptasi kerangka Multidimensional Poverty Index, MPI yang melibatkan 5 dimensi dan 27 indikator dengan dapatan daripada 2,775 isi rumah di 55 kawasan Parlimen seluruh Malaysia.
Melalui inisiatif ini yang merupakan usahasama APPGM-SDG, Yayasan Hasanah dan Kementerian Kewangan Malaysia, kita berupaya menyingkap realiti kehidupan masyarakat yang berhadapan dengan pelbagai bentuk deprivasi dalam aspek pendidikan, kesihatan, taraf hidup, perlindungan sosial serta kesepaduan sosial dan keselamatan.
Naratif akar umbi ini memperlihatkan bahawa kemiskinan bukanlah suatu pengalaman yang seragam, sebaliknya dipengaruhi oleh konteks geografi, peluang, akses kepada perkhidmatan asas dan cabaran setempat.
Di sebalik setiap dapatan, terselit juga kisah-kisah daya tahan, ketabahan, pengorbanan dan harapan yang dikongsikan oleh komuniti sendiri. Walaupun berhadapan dengan cabaran yang bersifat multidimensi, komuniti ini tidak pernah menyerah dalam meneruskan kehidupan seharian, malah mengorak langkah progresif dalam memartabatkan sosioekonomi keluarga mereka.
Dengan menggabungkan bukti empirikal dan pengalaman sebenar masyarakat, Wajah-Wajah Kemiskinan menawarkan satu dimensi baharu dalam memahami struktur dan konteks kemiskinan di Malaysia. Buku ini bukan sahaja menjadi rujukan kepada pembuat dasar, penyelidik dan pengamal pembangunan, malah mengajak setiap pembaca melihat bahawa di sebalik setiap angka, terdapat wajah, cerita dan kehidupan yang wajar didengari.