16 Laporan Pemetaan Isu Kawasan Parlimen Tahun 2026 dan Penerbitan Lain APPGM-SDG

Kompilasi Laporan Pemetaan Isu Kawasan Parlimen 2026 (Jilid 1-6) merangkumi laporan-laporan kajian pemetaan isu yang menyusun dapatan kajian mengikut latar belakang kawasan, metodologi, isu-isu rentas SDG, maklum balas daripada pihak berkepentingan serta pengenalpastian cadangan penyelesaian awal. Pada tahun 2026, gerak kerja ini melibatkan 16 kawasan parlimen baru di seluruh Malaysia yang merangkumi Zon Utara, Zon Tengah, Zon Pantai Timur, Zon Selatan, Wilayah Sabah dan Wilayah Sarawak.
Kompilasi Laporan Bengkel Pembangunan Kapasiti Kawasan Parlimen 2025 (Jilid 1-6) ini menghimpunkan dapatan utama daripada proses pembangunan kapasiti dan disusun mengikut zon bagi mengenal pasti isu, cabaran, cadangan penyelesaian dan tematik yang merentasi kawasan parlimen. Pada masa sama, keunikan konteks setiap lokaliti juga ditonjolkan. Dapatan yang dikemukakan mencerminkan pengalaman dan perspektif pemegang taruh di lapangan serta menggambarkan keutamaan pembangunan dan tindakan khusus yang perlu diambil di peringkat tempatan.
Indeks Kemiskinan Multidimensi Setempat (LMPI) menawarkan perspektif setempat untuk memahami bagaimana kemiskinan dan kerentanan dialami di seluruh Malaysia. LMPI dibangunkan melalui Inisiatif Intervensi Dasar, sebuah usaha sama antara APPGM-SDG, Yayasan Hasanah dan Kementerian Kewangan Malaysia. LMPI melengkapi Indeks Kemiskinan Multidimensi Nasional Malaysia dengan menghubungkan perspektif makro di peringkat nasional dengan realiti mikro isi rumah dan komuniti.

