Membudayakan Kesedaran Kelestarian Melalui Pendekatan Islam dan SDG
وَلَا تُفْسِدُوا فِي الْأَرْضِ بَعْدَ إِصْلَاحِهَا وَادْعُوهُ خَوْفًا وَطَمَعًا ۚ إِنَّ رَحْمَتَ اللَّهِ قَرِيبٌ مِّنَ الْمُحْسِنِينَ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepada-Nya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terlalu mengharapkan (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang yang memperbaiki amalannya.”
Surah al-A’raf (56)[1]
Bagaimana isu seperti pencemaran sungai, pembaziran air dan pengurusan sampah dapat difahami oleh kanak-kanak? Lebih penting, bagaimana kesedaran tersebut boleh diterjemahkan kepada tindakan dalam kehidupan seharian mereka?
Persoalan ini menjadi asas kepada pelaksanaan “Program Khalifah Cilik : Sayangi Bumi, Tanggungjawab Kita” anjuran Unit Pembangunan Kapasiti, Jabatan Penyelarasan Kawasan Parlimen, All Party Parliamentary Group Malaysia on Sustainable Developement Goals (APPGM-SDG) yang telah berlangsung pada 20 September 2026 di tiga buah sekolah dalam Parlimen Padang Serai, iaitu SK Merbau Pulas, SK Pagar Museh dan KAFA Masjid Keladi, dengan penyertaan seramai 122 orang murid dalam kalangan umur 9 hingga 11 tahun.
Program ini merupakan kesinambungan daripada proses pemetaan isu komuniti yang telah dilaksanakan di Parlimen Padang Serai. Melalui pendekatan ini, dapatan cabaran setempat selain menjadi asas perbincangan dan cadangan penyelesaian di peringkat agensi, turut diterjemahkan kepada pengalaman pembelajaran yang bersesuaian untuk kanak-kanak. Usaha ini bertujuan mendekatkan isu pembangunan mampan dengan kehidupan generasi muda. Proses ini membantu mereka memahami peranan setiap individu dalam menjaga alam sekitar dan menyumbang kepada kesejahteraan komuniti.
Keunikan program ini terletak pada gabungan nilai Islam, kerohanian, penjagaan alam sekitar dan Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals – SDG) dalam satu pengalaman pembelajaran yang interaktif. Peserta diperkenalkan dengan konsep manusia sebagai khalifah yang diamanahkan untuk menjaga ciptaan Allah, menghargai sesama manusia, memelihara haiwan dan melindungi alam sekitar. Kelestarian berkait rapat dengan amanah, ihsan dan tanggungjawab dalam kehidupan seharian.
Cabaran komuniti yang rumit diterjemahkan kepada perkongsian yang mudah difahami melalui aktiviti berkumpulan, permainan, perbincangan kes dan penghasilan poster. Isu yang diketengahkan termasuk pengurusan sampah, kepentingan air bersih, konflik manusia dengan hidupan liar, keterangkuman golongan orang kurang upaya (OKU) serta penjagaan sungai. Peserta digalakkan untuk mengenalpasti masalah, memahami golongan yang terkesan dan menghubungkan isu tersebut dengan tindakan yang boleh dilakukan dalam kehidupan mereka sendiri.
Proses pembelajaran disusun melalui tiga misi utama yang membimbing peserta daripada mengenalpasti isu kepada menyampaikan mesej dan tindakan. Melalui ‘Misi 1 : Jejak Khalifah’, peserta mengenal isu, masalah, mencari pihak yang terkesan dan menghubungkannya dengan tanggungjawab sebagai khalifah serta SDG.
Seterusnya ‘Misi 2 : Suara Khalifah’ peserta menyampaikan mesej melalui aktiviti komunikasi kreatif seperti lakonan, penyampaian mesej dan perkongsian idea. Dalam ‘Misi 3 : Khalifah Kreatif’, peserta menterjemahkan pemahaman mereka kepada poster kempen yang mengandungi isu, mesej utama, nilai Islam, SDG berkaitan dan cadangan tindakan.
Kanak-kanak bukan sekadar menjadi penerima maklumat. Mereka berpeluang berfikir secara kritis, menyuarakan pandangan dan membayangkan penyelesaian terhadap isu yang dibincangkan. Pengalaman pembelajaran ini mendidik mereka bahawa tindakan kecil yang bermakna menyumbang kepada penjagaan alam sekitar dan menghormati sesama manusia.
Pelaksanaan program di tiga lokasi ini memperlihatkan potensi pendekatan pendidikan SDG berasaskan komuniti dan nilai kerohanian untuk diperkenalkan sejak usia muda. Program ini memupuk pemahaman bahawa kelestarian bermula daripada pilihan dan tindakan harian yang kecil. Contohnya, menggunakan air secara berhemah, mengurus sampah dengan betul, menghormati perbezaan dan menyayangi semua makhluk.
Melalui Program Khalifah Cilik, APPGM-SDG memperluas usaha penyetempatan SDG dengan menghubungkan isu setempat, pendidikan dan pembentukan nilai dalam kalangan generasi muda. Diharapkan kesedaran yang disemai melalui program ini dapat terus dipupuk dan diterjemahkan kepada amalan di rumah, sekolah dan komuniti.
Perubahan yang bermakna bermula apabila kesedaran dan nilai tanggungjawab dipupuk sejak kecil. Setiap anak perlu memahami bahawa sebagai khalifah di bumi, mereka turut mempunyai amanah untuk menjaga alam sekitar, menghargai kehidupan dan menyumbang kepada masa depan yang lebih mampan.
Kejayaan pelaksanaan Program Khalifah Cilik ini tidak akan tercapai tanpa sokongan dan kerjasama pelbagai pihak. Unit Pembangunan Kapasiti, APPGM-SDG merakamkan penghargaan kepada YB Dato’ Azman bin Nasarudin atas sokongan yang diberikan, serta pihak pengurusan tertinggi APPGM-SDG, pentadbir sekolah, guru-guru dan semua pihak yang telah bersama-sama menjayakan program ini.
Disediakan oleh,
Siti Shafina Sanusi
Penolong Pengarah dan Ketua Fasilitator Latihan & Pendidikan,
Jabatan Penyelarasan Kawasan Parlimen,
APPGM-SDG.
[1]Penjagaan Alam Sekitar dalam Agama Islam, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, Jabatan Perdana Menteri, 27 Oktober 2022

























