
Program Memperkasa Belia Berisiko: Jana Ekonomi Digital, Bina Daya Tahan anjuran APPGM-SDG bermula dengan pengenalan terhadap realiti kehidupan golongan belia yang sering berdepan dengan cabaran ekonomi, sosial dan digital. Ramai antara mereka tidak mempunyai pekerjaan tetap, kurang keyakinan diri serta ketinggalan dalam literasi teknologi. Keadaan ini menjadikan mereka mudah terpinggir daripada arus pembangunan dan sukar membina masa depan yang lebih stabil. Justeru, penganjur melihat keperluan mendesak untuk menyediakan satu intervensi yang bukan sahaja memberi ilmu tetapi juga membentuk daya tahan dan minda keusahawanan digital.
Intervensi ini dilaksanakan melalui 12 sesi latihan bersiri disasarkan untuk 10 belia dari Sungai Petani, Kedah bermula awal September dan tamat pada 15 Disember 2025. Latihan yang berstruktur merangkumi modul keusahawanan, pemasaran, pengurusan perniagaan, literasi digital, pembangunan diri, komunikasi dan rundingan. Setiap sesi bukan sekadar penyampaian teori tetapi menekankan aplikasi praktika di mana peserta diminta untuk mempraktikkan ilmu yang diperoleh dan berkongsi pengalaman mereka. Pada peringkat awal peserta mula membina keyakinan dan memahami asas keusahawanan digital. Seterusnya, mereka mengurus projek kecil, mempraktikkan strategi pemasaran dan melatih kemahiran komunikasi. Di akhir sesi peserta menghasilkan projek nyata seperti kedai dalam talian dan kandungan digital sekali gus membuktikan keberkesanan modul yang dijalankan.
Sepanjang proses ini cabaran seperti kurang motivasi, kesukaran menguasai ICT dan rasa takut gagal ditangani melalui pendekatan peer learning, mentoring ringkas dan sokongan komuniti. Penganjur memastikan setiap peserta tidak dibiarkan bersendirian sebaliknya dibimbing untuk melihat kegagalan sebagai peluang pembelajaran. Selepas tamat program, sebuah komuniti digital diwujudkan melalui platform seperti WhatsApp, Copilot, TikTok, Shoppe dan Grab Food/ Food Panda. Komuniti ini berfungsi sebagai ruang sokongan berterusan, tempat peserta berkongsi cabaran, mempromosikan produk, bertukar idea dan membina jaringan sosial yang positif.
Impak program ini jelas kepada tiga pihak utama. Bagi peserta, mereka mengalami transformasi minda daripada pasif kepada aktif, memperoleh kemahiran nyata dalam perniagaan digital serta membina daya tahan menghadapi cabaran. Bagi penganjur, keberkesanan program dapat dibuktikan melalui hasil projek peserta, reputasi meningkat sebagai pihak yang berjaya memperkasa belia berisiko dan modul yang dibangunkan boleh dijadikan model untuk program masa depan. Bagi komuniti pula wujud perkembangan ekonomi mikro melalui perniagaan kecil, jaringan sosial yang lebih positif serta inspirasi daripada kisah kejayaan peserta yang mampu menarik lebih ramai belia lain untuk turut serta dalam program seperti ini di masa hadapan.
Selepas 12 sesi kesan program ini bukan sekadar melahirkan belia yang berkemahiran digital tetapi membentuk satu ekosistem transformasi yang berterusan. Peserta bukan lagi penerima bantuan semata-mata tetapi pencipta peluang yang menyumbang kepada ekonomi dan komuniti. Penganjur pula berjaya membuktikan bahawa intervensi pendidikan dan latihan yang sistematik mampu mengubah cabaran menjadi peluang. Komuniti akhirnya mendapat manfaat daripada peningkatan produktiviti dan daya tahan belia berisiko menjadikan program ini bukan sekadar latihan jangka pendek tetapi satu usaha kelestarian sosial dan ekonomi yang kritis. Program ini Berjaya menepati objektif dan pra pelatih menerima sijil sebagai tanda pengiktirafan dan satu langkah maju kedepan. Pemberian Sijil ini disempurnakan oleh En James Ryan Raj, Timbalan Pengarah Eksekutif APPGM-SDG pada 15 Disember 2025


