Program kesedaran dan langkah-langkah pencegahan denggi yang diadakan di Batang Sadong dapat membantu komuniti untuk menjalani kesihatan yang lebih baik dan kehidupan yang lebih sejahtera.
Program kesedaran dan pencegahan denggi di kawasan P200 Batang Sadong merupakan program yang dirangka untuk meningkatkan kesedaran terhadap penyakit berkaitan denggi dengan melaksanakan aktiviti kesedaran, ceramah, gotong-royong dan amalan sanitasi di seluruh 3 DUN di bawah P200 Batang Sadong.
Dengan bantuan agensi terpilih, program ini akan dapat membantu meningkatkan kesedaran dalam kalangan peserta berkaitan pencegahan dan pemulihan penyakit bawaan denggi.
Pihak penganjur juga akan melibatkan agensi kerajaan yang berkaitan seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (Unit Bawaan Vektor), Pejabat Residen, Pejabat Daerah, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta Pejabat Parlimen P200 Batang Sadong.
Projek penyelesaian yang dibiayai oleh APPGM-SDG dapat meningkatkan kesedaran di kalangan peserta dan komuniti di Batang Sadong untuk berlatih ke arah pencegahan lebih baik berkaitan denggi. Oleh itu, ini akan menyumbang ke arah kesihatan dan kehidupan yang lebih baik untuk semua komuniti yang terlibat.
Penyedia solusi projek ini ialah Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia (PESAKMA). Tempoh projek adalah lima (5) bulan termasuk kertas kerja dan perancangan (bermula dari Jun hingga Oktober) dengan peruntukan RM25,000.00.
SDG utama yang memberi impak melalui projek penyelesaian ini ialah SDG 3: Kesihatan dan kesejahteraan yang baik.