Projek ini bertujuan untuk menangani isu lama yang memerlukan dialog dengan MBI dan JPS yang akan membantu membentuk perkongsian untuk menyelesaikan kemiskinan bandar.
Isu-isu tersebut berlaku terutamanya di empat kawasan iaitu Kampung Tai Lee, Menara Sungai Pari, Jalan Spooner dan rumah pangsa. Terdapat banyak isu tanah, perumahan dan infrastruktur yang menyebabkan kerosakan pada saluran paip banjir di jalan Kampung Tai Lee dan juga Jalan Spooner. Bangunan terbengkalai juga boleh disusun semula sebagai tempat tinggal bagi golongan miskin bandar. Bagi kawasan rumah pangsa, isu yang berkaitan dengan perhubungan masyarakat, bantuan kebajikan kepada ibu tunggal, penduduk yang uzur, warga emas dan sistem CCTV perlu dipertingkatkan bagi mensasarkan kehidupan yang lebih baik ke arah sifar kemiskinan.
Justeru, projek ini akan menganjurkan dialog komuniti melibatkan wakil parlimen, pihak berkuasa tempatan dan agensi kerajaan negeri bagi mengenal pasti isu utama yang perlu disampaikan. Penyelesaian dan rancangan masa hadapan juga akan dibincangkan sebagai pelan tindakan.
Penyedia solusi projek ini ialah Persatuan Kebajikan Komuniti dan Dialog. Tempoh projek adalah selama empat (4) bulan dengan peruntukan sebanyak RM20,000.00.
SDG utama yang memberi impak melalui projek solusi ini ialah Matlamat 1: Tiada Kemiskinan dan Matlamat 17: Perkongsian untuk Matlamat.