Di Simpang Renggam, tiada pusat khusus yang mengajar kemahiran praktikal keusahawanan untuk meningkatkan sara diri dan mengurangkan kebergantungan kepada bantuan kebajikan dan pemberian. Pendapatan masyarakat juga telah terjejas oleh kesan pandemik Covid-19.
Justeru, projek ini akan menangani isu tersebut dengan melahirkan usahawan tempatan bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat. Projek ini akan menyediakan latihan kemahiran perniagaan dan keusahawanan berdasarkan kekuatan setempat kepada penduduk setempat termasuk wanita di kawasan Ulu Benut, Simpang Renggam. Selain itu, projek ini juga akan mengindahkan pantai Sg. Ulu Benut sebagai kawasan rekreasi untuk menarik pengunjung dan mewujudkan suasana perniagaan yang menarik. Penduduk sekitar adalah dalam kalangan B40, di mana 80% daripada 100 penduduk wanita adalah suri rumah (berumur 30-65 tahun) dan lepasan sekolah seramai lebih kurang 22 orang. Mereka mempunyai potensi dan boleh mendapat manfaat daripada program ini.
Penduduk sekitar akan memaksimumkan pembangunan yang akan dibina dalam program ekonomi ini. Projek pembangunan itu akan menyaksikan perkembangan ilmu perniagaan dalam kalangan masyarakat, kawasan persekitaran yang diperindah, termasuk penciptaan tempat ikonik dan pembinaan kemudahan perniagaan seperti gerai dan kiosk. Penyedia solusi projek ini ialah Koperasi Keluarga Montamah Paiman Johor Berhad dan Koperasi Komuniti Kampung Ulu Benut Berhad. Tempoh projek adalah lima bulan dengan peruntukan RM40,000.00.
SDG utama yang memberi impak melalui projek solusi ini ialah Matlamat 1 – Menamatkan kemiskinan dalam semua bentuknya di mana-mana sahaja, Matlamat 4 – Memastikan pendidikan berkualiti inklusif dan saksama untuk semua, Matlamat 5 – Mencapai kesaksamaan jantina dan memperkasakan semua wanita, Matlamat 8 – Menggalakkan berterusan , pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan, pekerjaan penuh dan produktif serta kerja yang layak untuk semua, Matlamat 10 – Mengurangkan ketidaksamaan dalam dan antara negara dan Matlamat 11 – Menjadikan bandar dan penempatan manusia inklusif, selamat, berdaya tahan dan mampan.