Amalan Terbaik daripada Forum Tadbir Urus dan Intervensi Dasar SDG di Johor 2026

Oleh Ahmad Muiz bin Rahim | ahmadmuiz24@gmail.com

We are dedicated to empowering our beneficiaries, fostering active partnership rather than passive reception of services.

Share:

Program Forum Tadbir Urus dan Intervensi Dasar SDG, Zon Selatan telah dijalankan di Impiana Hotel Senai, Johor pada 2 dan 3 September 2026. Program ini mengumpulkan pegawai daerah, wakil NGO dan juga rakan-rakan strategik tempatan APPGM-SDG ke dalam satu majlis perkongsian amalan terbaik. Sebanyak 4 sesi dialog dan 1 sesi perbincangan meja bulat telah berjaya dilaksanakan dalam tempoh 2 hari.

Perkongsian Amalan Terbaik

Sepanjang forum berlangsung para ahli panel telah berkongsi idea, isu dan juga penyelesaian yang telah dilaksanakan sebagai satu bentuk perkongsian amalan terbaik. Antara amalan terbaik yang telah dikongsikan ialah pelaksanaan kebun komuniti di kawasan lapang. Kawasan lapang yang berdepan dengan isu semak dan nyamuk yang boleh membawa penyakit dibersihkan dan dijadikan tapak untuk penanaman. Kebun komuniti ini hasil daripada kerjasama semua pihak antaranya ialah Jabatan Pertanian, Pihak Berkuasa Tempatan dan pihak-pihak lain yang terlibat. Kebun komuniti tidak memerlukan kos yang banyak kerana menggunakan bahan-bahan kitar semula. Salah satu kebun komuniti di daerah Tampin telah diiktiraf sebagai kebun komuniti terbaik di peringkat kebangsaan.

Program from Trash to Cash di mana satu pengendali dilantik untuk mengutip apa sahaja sampah dan barang-barang terpakai termasuk e-Waste. Program ini juga menerima minyak masak terpakai untuk dijual. Seterusnya, kilang tenusu yang dibina untuk menempatkan 10,000 lembu susu dalam satu masa dan industri ini telah mencipta peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan. Selain itu, aplikasi WhatsApp boleh digunakan sebagai saluran aduan awam untuk menerima masalah/aduan untuk diselesaikan.

Seterusnya, penyelesaian bagi isu haba yang dialami setiap unit rumah ditangani dengan mengecat menggunakan cat yang memantulkan haba yang dapat mengurangkan isu haba dan menyelesaikan masalah bangunan yang kurang cantik dan cat tertanggal.

Penglibatan Komuniti dalam Intervensi

Salah satu isu yang diutarakan bersama contoh penyelesaian ialah berkenaan peranan pengurusan sumber yang banyak diletakkan kepada agensi tetapi komuniti yang akan berdepan dengan isu-isu yang berlaku. Negara seperti Australia dan Filipina telah disebut sebagai contoh di mana kebanyakan agensi telah memberi ruang kepada komuniti untuk terlibat dalam pengurusan sumber. Komuniti yang terlibat sendiri menjalankan kerja pemantauan dan pemuliharaan sendiri dan komuniti yang akan maklumkan apa-apa maklumat kepada agensi.

Ahli panel lain juga turut berkongsi pendapat mengenai penglibatan komuniti seperti penglibatan komuniti tempatan amat penting bagi menjayakan usaha intervensi. Jika berlaku isu seperti banjir yang akan menerima kesan yang paling buruk adalah komuniti, komuniti yang akan berdepan dengan kerosakan harta dan kehilangan nyawa. Penglibatan komuniti boleh membantu pihak pentadbir mengenalpasti intervensi yang baik, sesuai dan lebih berkesan untuk mereka. Satu usaha pelaksanaan boleh menjadi sukar untuk berjaya tanpa komitmen daripada komuniti. Penglibatan daripada peringkat kanak-kanak, golongan bekerja hingga warga emas semua diambil kira seiring dengan tema SDG ‘leaving no one behind’.

Usaha yang dilakukan untuk melibatkan komuniti dan mengenalpasti intervensi yang baik ialah kenalpasti demografi kawasan yang ingin di bantu. Selepas itu, sesi Focus Group Discussion, temu ramah dan tinjauan boleh dijalankan. Intervensi dan cadangan memerlukan asas mengapa sesuatu intervensi itu perlu dibuat secara sedemikian. Perkara ini menunjukkan bahawa penglibatan komuniti itu sangat penting untuk mengenalpasti intervensi yang diperlukan dalam sesebuah komuniti. Kedua-dua ahli panel juga mempunyai idea yang hampir sama bagaimana hendak dekati komuniti tempatan seperti berjumpa dengan orang kampung, mengajak untuk minum kopi atau buat jamuan untuk menarik minat mereka.

Faktor Kejayaan Projek

Faktor yang menyumbang kepada kejayaan sesebuah projek yang telah dikongsikan oleh para ahli panel adalah tadbir urus yang baik. Kedua, kerjasama berkumpulan atau sinergi yang baik. Bekerja secara berkumpulan seperti kerjasama antara agensi merupakan merupakan cara yang terbaik untuk melaksanakan apa-apa inisiatif. Pelbagai agensi harus terlibat dalam melaksanakan sesuatu projek. Contoh yang diberikan oleh seorang ahli panel adalah merewang untuk kenduri. Dalam merewang setiap orang ada peranan/tugas masing-masing dan mesti ada ketua. Ada yang memotong ayam, memotong sayur-sayuran dan ada yang mengacau masakan. Penglibatan pelbagai agensi untuk mengisi peranan yang sesuai membantu kejayaan sesebuah projek, ada agensi yang memberikan dana, agensi yang menyumbang sumber tenaga manusia, agensi-agensi yang menyumbang dalam bidang kepakaran tertentu dan peranan lain yang boleh diisi. Perkara ini akan mewujudkan satu persekitaran yang salah seorang ahli panel perkenalkan sebagai enabling environment.

Isu Pembangunan di Tapak Warisan Dunia

Selain itu, salah satu perkara menarik yang dikongsikan adalah jika artifak ditemui di kawasan yang telah diiktiraf sebagai tapak warisan dunia UNESCO semasa kerja-kerja pembangunan dijalankan maka pembangunan itu harus dihentikan. Contohnya, pembangunan di Bandar Hilir, Melaka terbatas kerana statusnya sebagai tapak warisan dunia UNESCO. Batasan ini juga menyukarkan penambahan infrastruktur baru.

Isu daripada Perbincangan Meja Bulat

Isu lain yang diperoleh daripada salah satu kumpulan perbincangan meja bulat iaitu isu di mana anak muda keluar dari kampung. Isu ini mengakibatkan penurunan populasi kampung dan juga pengurangan tenaga kerja dari golongan muda. Salah satu faktor adalah orang muda mencari peluang pekerjaan di luar.

Kesimpulannya, pada pandangan saya, usaha intervensi perlu melibatkan penyertaan daripada pelbagai pihak sama ada penglibatan daripada agensi-agensi berpengaruh dan berkuasa dan juga komuniti yang ingin atau sedang dibantu. Hubungan kerjasama yang baik ini membantu mengenalpasti jenis bantuan atau penyelesaian yang sesuai dengan isu dan keperluan semasa tempatan. Komuniti itu yang mengenali persekitaran mereka sendiri dan agensi-agensi pula memiliki sumber seperti kewangan, tenaga kerja manusia, kepakaran dan perkara lain yang tiada dalam komuniti. Perkara ini menunjukkan bahawa kerjasama antara komuniti dan agensi itu sesuatu yang diperlukan. Forum di zon selatan ini mengangkat topik pembangunan dan peranan pihak-pihak yang bertanggungjawab seperti pentadbir untuk memacu pembangunan dan menyelesaikan isu di kawasan pentadbiran masing-masing. Ia juga menyentuh kepentingan membentuk dasar dan bagaimana dasar tersebut dapat dilaksanakan untuk membangunkan sesuatu kawasan dengan pembangunan yang lebih baik dan berkesan. Banyak idea amalan terbaik yang telah dikongsi oleh para ahli panel yang boleh diaplikasi oleh para pegawai dan peserta yang lain.